Petanda Anda Ketagihan Wang

Petanda Anda Ketagihan Wang

Ada banyak situasi yang boleh mengalakkan seseorang untuk obses wang. Secara faktanya, anda boleh berbuat hampir apa sahaja jika memiliki banyak wang.

Ramai orang merasakan yang dengan memiliki wang, mereka berasa istimewa dan berkuasa. Dari masa kesemasa, tanpa sedar sukar untuk mengikis sifat obses terhadap wang yang keterlaluan.

Berikut adalah ciri-ciri orang yang obses dengan wang. Lihat jika anda salah seorang daripadanya:

Prinsip Kewangan Yang Tinggi.

Ini akan terjadi apabila anda sendiri tidak dapat meletakkan batasan mengenai jumlah yang anda ingin hasilkan dan belanjakan.

Dalam kebanyakkan kes, mereka sering keliru apabila mencari sumber kewangan yang tidak perlu dan melebihi kemampuan.

Mereka sanggup berhutang dan membuat pinjaman baik peribadi mahupun dengan bank. Konsep ‘biar papa asalkan bergaya’ menjadi tema bagi gaya kehidupan mereka.

Jika terlalu obses, mereka sanggup menggunakan cara yang sebenarnya akan menyusahkan diri mereka sendiri.

Contohnya, mereka sanggup meminta orang lain jadi penjamin atau berhutang keliling pinggang agar sentiasa hidup dalam keadaan yang mereka rasa selesa.

Mereka tidak risau kerana berbelanja di luar kemampuan sebaliknya mereka akan rasa tidak selesa jika tidak mampu berbelanja seperti yang mereka inginkan.

Mereka juga hidup dengan kepercayaan yang perkara yang ajaib akan berlaku dalam hidup mereka suatu hari nanti dan menyempurnakan hidup mereka.

Walaupun mereka sedar perbuatan itu tidak wajar untuk dilakukan namun mereka akan menafikannya dan menipu diri sendiri.

Obses Dengan Saham & Pelaburan.

Sememangnya melabur dalam saham adalah salah satu alternatif untuk menambahkan pendapatan. Namun jika terlalu obses untuk mendapatkan banyak wang dalam masa yang singkat, pelaburan bukanlah caranya.

Anda harus berhati-hati dan memahiri banyak strategi untuk terjun dalam dunia pelaburan. Jangan mudah teruja dengan keuntungan yang pantas.

Sememangnya pelaburan tidak memerlukan banyak tenaga, akan tetapi jika obses, ia bukan setakat mengambil masa dan tenaga akan tetapi merampas kehidupan anda yang bernilai.

Anda mungkin tidak sedar pertukaran siang ke malam dan mula mengabaikan aspek kehidupan anda yang lain seperti keluarga, rakan-rakan, hobi dan sebagainya.

Apa yang penting dalam fikiran anda angka semata-mata. Berjam-jam masa dihabiskan untuk mengira dan mengelak kerugian.  Silap haribulan, waktu tidur anda akan terganggu, begitu juga emosi dan fizikal anda.

Sembunyikan Aktiviti Wang.

Orang yang pernah dan sedang mengalami waktu yang sukar dengan wang lazimnya akan menyembunyikan masalah mereka apabila berkaitan dengan wang.

Mereka tidak mahu orang lain tahu kegagalan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan wang.

Hal ini kerana, isu wang boleh menjadi sesuatu yang memalukan bagi mereka.

Mereka juga akan memencilkan diri dan menjauhkan diri mereka sendiri daripada orang lain yang mana akan membuatkan mereka rasa lebih teruk lagi.

Tidak Dapat Mengawal Perbelanjaan.

Golongan ketagih wang ini, walaupun telah sedaya upaya mencuba untuk tidak berbelanja di luar kemampuan, mereka masih gagal membetulkan corak gaya kewangan dan perbelanjaan mereka.

Mereka tetap terlebih belanja apabila sudah membuat keputusan pada awal-awal lagi untuk tidak berbelanja pada perkara yang tidak perlu.

Apa yang diperlukan untuk berhenti adalah untuk mengenal pasti sebab kenapa anda patut untuk berhenti daripada obses kepada wang sehingga menjejaskan kualiti hidup anda.

Merosakkan Kehidupan Dan Perhubungan.

Sindrom obses wang mula menunjukkan kesan sampingan apabila individu mula mengalami situasi seperti kehilangan harta benda, bankrap, keretakan perhubungan dan banyak lagi.

Kesan yang paling teruk adalah apabila individu menderita kerana tidak dapat mencari jalan keluar daripada permasalahan mereka.

Jangan ambil mudah kerana masalah obses wang boleh sebabkan masalah lain seperti ketagihan dadah, rokok, alkohol, makanan dan lain-lain yang pastinya tidak akan membuatkan anda berada dalam kehidupan yang selesa.

Mencari wang dan berusaha untuk jadi kaya tidak salah, namun harus bijak berbelanja dan menguruskan wang mengikut keperluan bukan kehendak.

Send a Comment